Pages

Tuesday, January 20, 2015

CAPD - Alternatif selepas HD


Hari ini atuk menjalani pembedahan untuk proses CAPD.
Setelah 10 tahun menjalani hemodialisis (HD) dan fistula di tangan kanan atuk bocor pada bulan lepas, atuk telah beberapa kali menjalani rawatan HD menggunakan saluran sementara di leher dan paha. Saluran ini tak boleh lama sebab vein kecil dan mudah dijangkiti kuman.
Untuk membuat fistula baru di tangan kiri atuk tak dapat dilakukan sebab atuk kan patah pergelangan tangan kiri. Untuk sembuh mengambil masa yang lama.
Jadi alternatif terakhir adalah melakukan dialisis di perut dinamakan CAPD.

Ibu ada membuat sedikit rujukan mengenai CAPD ni.
Dengan bahasa mudah, kateter akan dipasang di dinding perut dan digunakan untuk proses CAPD ni.

Semoga urusan atuk dipermudahkan Allah.
Al-Fatihah.

Kongsi maklumat sikit tentang rawatan bagi pesakit buah pinggang.
Tiga jenis rawatan alternatif telah dicipta untuk mengambil alih sebahagian fungsi penting buah pinggang bagi membolehkan pesakit terus hidup. Terapi berkenaan tidak menyembuhkan penyakit buah pinggang tetapi membantu melegakan ketidakselesaan pesakit dan membolehkan mereka hidup lebih lama.

Hemodialisis (HD)  atau Dialisis Peritoneum (PD)

Hemodialisis (HD) ialah proses penapisan darah yang dilakukan dengan bantuan mesin. Darah yang mengandungi bahan buangan dibersihkan melalui dialyser dan dikembalikan semula ke dalam badan. Pesakit yang menjalani HD perlu mengunjungi pusat dialisis tiga kali seminggu untuk sesi rawatan yang mengambil masa antara empat hingga lima jam untuk setiap sesi. Oleh kerana jarum diperlukan untuk mengeluarkan darah dan mengembalikannya ke dalam badan, pesakit yang menjalani HD terdedah kepada jangkitan kuman dan pendarahan jika tidak mematuhi prosedur yang betul. Ada juga di kalangan pesakit yang mengalami pening kepala, mual, kekejangan kaki dan keletihan akibat rawatan tersebut. 

Berbeza dengan HD, dialisis peritoneum (PD) menggunakan membran peritoneum atau selaput abdomen sebagai penapis. Satu tiub kecil dan lembut yang dikenali sebagai kateter dimasukkan menerusi pembedahan melalui dinding abdomen, ke dalam ruang peritoneum di mana dialisis berlaku. Larutan dialisis kemudian diisi ke dalam abdomen melalui kateter untuk memerangkap bahan buangan dari darah. 

Selepas beberapa jam, larutan yang telah diguna dialirkan keluar dari badan. Buat masa ini, terdapat dua jenis PD iaitu dialisis peritoneum bergerak berterusan (continuous ambulatory peritoneal dialysis) atau CAPD dan dialisis peritoneum automatik (automated peritoneal dialysis) atau APD. 

Pesakit CAPD perlu menjalani empat pertukaran dialisis setiap hari, dengan setiap pertukaran mengambil masa antara 20 hingga 30 minit. 

APD pula dilakukan semasa pesakit tidur, dan mengambil masa antara lapan hingga 12 jam setiap malam. Walaupun CAPD dan APD masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri, PD pada umumnya memberikan fleksibiliti dan kemudahan pergerakan yang lebih. Oleh kerana rawatan dilakukan di rumah, pesakit juga boleh mengatur jadual dialisis supaya bersesuaian dengan waktu kerja dan perjalanan kehidupan seharian.

Tambahan lagi, pertukaran dialisis yang kerap dan berterusan untuk mengeluarkan bahan buangan dan air yang berlebihan dari badan hampir menyerupai fungsi semula jadi buah pinggang. Namun begitu, PD merupakan rawatan invasif kerana kateter perlu dimasukkan secara kekal di dalam abdomen. Jangkitan kuman boleh berlaku jika PD dilakukan dalam persekitaran yang kurang bersih.

Pemindahan buah pinggang

Di antara pilihan rawatan yang ada, pemindahan buah pinggang adalah pilihan terbaik bagi pesakit memiliki buah pinggang sendiri. Kebebasan daripada rawatan dialisis memang satu prospek yang menarik, tetapi usaha mencari penderma yang sesuai mengambil masa yang panjang dan pesakit perlu diletakkan dalam senarai panjang pesakit yang menunggu pemindahan buah pinggang. Walaupun penderma yang sesuai ditemui, pesakit terpaksa bergantung kepada ubat sepanjang hayat untuk mengelakkan badan menolak buah pinggang yang didermakan itu. 

No comments:

Post a Comment