Pages

Thursday, January 14, 2021

Kek Coklat Moist Kukus

Petang ni rehat awal sikit sebab WFH. 
Masa tengah layang movie Tamil, Wafi masuk bilik cakap teringin makan brownie. Aduiii mana pulak nak cari. Dia cakap jom lah pergi kedai Cikgu Azlina Ina. Kakak pulak kata boleh je cari dalam Meru Food Channel. Ada ke stok petang-petang camni. Wafi teringin sebab tengok cerita dalam youtube.

Ibu teringat ada lagi serbuk koko dalam fridge. Bila tengok dah expired pulak. Wafi kata ada coklat chip. Ermmmm... bolehlah try. Coklat chip dari rumah nenek masa puasa PKP tahun lepas. Ingat nak buat cookies tapi tak terbuat. 

Kita try je lah.


Resepi Kek Coklat Moist

Bahan-bahan
1. 1 cawan serbuk koko (guna coklat chip sebab serbuk koko tiada)
2. 1 cawan susu pekat
3. 1 cawan susu cair
4. 1 cawan minyak masak
5. 3/4 cawan gula pasir
5. 3 biji telur

Cara-cara
1. Masukkan semua bahan di atas ke dalam blender.
2. Kisarkan selama 5 minit. Boleh juga guna whisk.

Masa ni dah boleh panaskan periuk kukusan.

Ayakkan bahan-bahan di bawah ke dalam mangkuk besar.

1. 1 1/2 cawan tepung gandum
2. 1 SK soda bikarbonat
3. 1 SK baking powder

Selepas itu masukkan bahan yang sudah dikisar ke dalam mangkuk berisi tepung tadi dan kacau guna whisk. Kalau ikut resepi asal masukkan campuran tepung ke dalam bahan kisar dan gaul guna kaedah kaup balik. Tapi kali ni ibu kacau je terus.

Masukkan ke dalam loyang yang sudah dilapik dengan baking paper. Hentakkan sekejap untuk buang gelembung udara.

Masukkan ke dalam kukusan dan kukus selama 45 minit guna api sederhana sahaja. Setengah jam masak buka tudung kukusan dan lap wap air. Masakkan sehingga cukup masa. 5 minit sebelum cukup masa buka tudung kukusan untuk buang wap air yang berlebihan atas kek.

Keluarkan loyang dan sejukkan kek.

Sementara tunggu sejuk kita sediakan topping mudah.


Topping

Bahan-bahan
1. 1 cawan coklat chip (agak-agak sebab tinggal sikit)
2. 1/2 cawan susu cair
3. 1 SB minyak masak supaya topping berkilat

Cara-cara
1. Campurkan semua bahan-bahan di atas ke dalam kuali yang ditenggekkan atas periuk kukusan masa buat kek tadi.
2. Kacau guna whisk sehingga bahan cair dan likat sedikit.
3. Sejukkan sebentar dan tuang ke atas kek perlahan-lahan

Dah jadi kek lava.
Lama-lama coklat tu akan pekat.

Tekstur kek guna coklat chip ni lagi moist.
Makanlah dengan penuh nikmat.

Dessert lepas berbuka hari ni.
Alhamdulillah.

No comments:

Post a Comment