Pages

Sunday, April 19, 2020

#day33/42 PKP : Agar-agar santan sirap

Dah lama betul tak buat agar-agar.. ingat nak buat agar-agar sirap/lengkong je sebab teringat arwah nenek dulu.. kalau ada kenduri mesti buat lengkong.
Alah sedapnya bila dimakan sejuk-sejuk.

Beli agar-agar tali dari tahun lepas sebab nak buat agar-agar koktel tapi tak sempat je. Kena buatlah juga nanti expire pulak.

Google resepi agar-agar pandan tapi malas nak petik daun pandan dan blend😂
Tu yang jadi agar-agar santan sirap.


Agar-agar Santan Sirap

Bahan-bahan
1. 20gm agar2 tali
2. 1.5 liter air (3 botol mineral 500g)
3. 1 cawan gula
4. 1 cawan santan pekat (1 kotak santan)
5. 3 helai daun pandan
6. 1/4 sk garam
7. 1 sk sirap pekat/ibu

* kalau nak resepi pandan guna 1/4 cawan air pandan + sedikit pewarna hijau

Cara-cara
1. Basuh agat-agar tali dan masak dengan air sehingga cair. Hati2 kerana ia akan meruap.
2. Masukkan daun pandan dan gula. Masak hingga gula hancur
3. Masukkan sirap, santan dan garam dan masak sehingga mendidih. Kacau sentiasa untuk elakkan santan pecah.
4. Basahkan loyang atau bekas dan tapis agar2 terus ke dalam loyang.
5. Biarkan ia mengeras sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk.

Yang guna bekas ni elok pulak pembahagian bawah tu... yang potong pic kat atas tu dalam bekas yang lain. Masuk terus dalam bekas bertutup senang.. tinggal masuk dalam fridge. Potong siap-siap bila dah sejuk.. senang.. siapa nak makan bubuh sendiri dalam pinggan.

Buih-buih tak keluarkan... tu yang nampak menggerutu.

Tips.
1. Boleh juga masukkan sebiji telur yang telah dikocok terlebih dahulu selepas memasukkan santan. Agar2 akan kelihatan berongga dan lapisan atas akan tebal.

2. Potong agar2 menggunakan pisau lekuk untuk dapat bentuk yang cantik. Tak terfikir pun nak beli tapi sebab dulu pernah guna di rumah mak... itu yang teringat.

3. Loyang dibasahkan dulu sebelum masuk agar-agar supaya mudah dikeluarkan.

4. Keluarkan buih-buih atas agar-agar supaya tidak menggerutu bila dah sejuk.


No comments:

Post a Comment