Pages

Monday, November 23, 2026

Kenapa Saya Ada Blog?

 Tertarik dengan segmen yang Mulan buat.

Happy 20th Blogiversary buat blog Mulan : Peace, Love & Harmony!

Memang otai betul blog Mulan ni. 20 tahun berblogging! Macam-macam cerita dan kenangan mesti dah tersimpan. 🥰

Kenapa Saya Ada Blog?

Blog ibu ni mula dicipta pada 28 Januari 2011, kira-kira 6 bulan selepas Wafi dilahirkan.

Asalnya, ibu cuma nak simpan gambar-gambar Wafi sejak baby dan rekod perkembangan dia. Dari situlah timbul idea nak buat blog sendiri. Padahal ayah dah mula berblogging sekitar tahun 2008 dan pernah ajak ibu buat blog juga. Tapi masa tu ibu belum berminat. 😆

Wafi lahir dalam zaman peralihan digital. Masa tu penggunaan filem Kodak, Fuji atau Konica semakin berkurangan. Kamera pun dah beralih kepada digital, sama ada guna handphone atau kamera compact.

Nak cuci gambar pun bukannya murah. Jadi, gambar sekadar disimpan dalam komputer atau laptop. Kalau nak tengok semula, kena buka komputer dulu. Belum lagi bila tengok gambar lama, tertanya-tanya bila gambar tu diambil dan apa cerita di sebaliknya.

Jadi, blog ni ibarat album gambar digital yang siap dengan cerita sekali.

Ibu pula bukan jenis yang rajin menulis diari sejak zaman sekolah. Sebab tu entri awal kebanyakannya ringkas, dalam bentuk point sahaja. Mungkin terbawa-bawa cara penulisan di tempat kerja yang memang lebih suka catatan pendek dan padat. Sekarang ni barulah rajin sikit menulis panjang-panjang. 😂

Memandangkan blog ni pada asalnya lebih banyak bercerita tentang anak-anak, sebab itulah ibu gunakan panggilan diri sebagai ibu. Harapannya supaya satu hari nanti anak-anak boleh baca kisah zaman kecil mereka.

Eh, sekarang mereka dah baca pun! Tercapai juga tujuan asal blog ni. ❤️

Ada Masa Rajin, Ada Masa Sepi

Kalau tengok arkib blog, memang ada tahun-tahun yang kurang entri. Kadang-kadang sebab sibuk, kadang-kadang tak ada cerita menarik nak dikongsikan.

Ibu pun bukan blogger yang rajin blogwalking. Kebanyakannya sekadar membaca dan jadi silent reader. Kawan-kawan universiti yang ada blog pun tak ramai. Jadi, tak banyaklah blog yang ibu follow.

Blogger terawal yang ibu jumpa ialah Redmummy.com masa OBW 2015 dan OBW 2016. Ibu selalu baca blog beliau tapi masa tu tak pernah pun tinggalkan komen. Ibu yang beritahu ayah tentang RM sebelum mereka berhubung satu sama lain sehingga sekarang walaupun RM sudah tidak aktif dalam blog.

Dari Silent Reader Jadi Rakan Blogger

Rasanya dalam 3–4 tahun kebelakangan ni barulah ibu mula aktif follow blog lain dan meninggalkan komen. Kalau dulu sekadar membaca dalam diam, sekarang dah mula berani bertegur sapa. 😆

Alhamdulillah, seronok dapat mengenali rakan-rakan blogger. Walaupun ramai yang belum pernah bersua muka, terasa macam dah lama kenal. Masing-masing ada cerita dan pengalaman tersendiri untuk dikongsi.

Tak sangka blog yang asalnya diwujudkan untuk menyimpan kenangan anak-anak akhirnya turut membuka ruang untuk ibu mendapat kenalan dan sahabat baharu.

Bila baca semula entri lama, terasa macam membuka album kenangan. Ada cerita yang hampir terlupa, gambar yang mengundang senyuman dan memori yang membawa kita kembali ke zaman dulu.

Dulu menulis untuk menyimpan kenangan, kini turut mengumpul persahabatan. ❤️

Semoga blog ibu terus hidup dan menjadi tempat menyimpan cerita untuk dikenang pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment