Pages

Monday, November 30, 2026

Tahlil, Bacaan Yaasiin dan Doa Selamat Keluarga

Perancangan secara impromptu pada sebelah pagi untuk mengadakan solat Maghrib berjemaah di rumah nenek.

Alhamdulillah, hampir semua adik-beradik ibu dapat berkumpul kecuali Ummi dan Cik Biela. Ada juga adik ipar lelaki yang tidak dapat hadir atas kekangan kerja.

Selepas solat Maghrib, diteruskan dengan bacaan Surah Yaasiin dan tahlil yang diketuai oleh Cik Zie dan Cik Man.

Kita ambil kesempatan ini untuk mengadakan doa selamat sempena nenek, Ummi dan Pakcik Anuar akan berangkat ke Tanah Suci pada 7 Disember 2026 bagi menunaikan ibadah umrah.

Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan perjalanan mereka, mengurniakan kesihatan yang baik, melindungi sepanjang berada di sana dan mendapat umrah yang mabrur. Aamiin Ya Rabbal Alamin.

Sementara menunggu masuk waktu Isyak, masing-masing mengambil kesempatan untuk bersembang dan bertanya khabar. Maklumlah, bila adik-beradik berkumpul, macam-macam cerita keluar. 😁
Budak tecik Saif pula yang paling muda antara semua. Penyeri suasana!

Masa Cik Wada sampai, semua terkejut tengok perubahan dirinya. Dah nampak kurus!

Rupanya Cik Wada sedang mengikuti satu program penjagaan pemakanan yang menitikberatkan portion dan jenis makanan. Ada coach yang akan membimbing sepanjang program tersebut.

Bayarannya RM100. Ibu pula terlupa nak bertanya lebih lanjut tentang tempoh program itu. Cik Wada beritahu berat badannya dah turun 7 kg.

Fuhhhhh! Hebat! 👏👏👏

Kemudian, solat Isyak berjemaah pula. 

Selesai solat Isyak, barulah kita makan beramai-ramai.

Semua makanan dibawa secara konsep potluck. Tengah hari masing-masing baru buat keputusan nak bawa menu apa. Spontan sungguh! 😂

Ibu bawa kerang rebus, sambal kicap, taugeh tumis, anggur dan Vitagen.
 

Ini senarai menu yang masing-masing cadangkan:

Ami – Ayam Bakers Cottage, cheesecake dan kek pisang/coklat.
Elis – Sate ayam/daging Haji Samuri.
Baya – Cream puff dan jambu.
Nora – Set bubur nasi.
Wada – Spaghetti carbonara.
Ibu Ana – Ayam goreng.
Cikcha – Patin tempoyak dan sambal belacan.
Fatin – Nasi.

Hahaha... yang Fatin tulis nasi itu memang mencuit hati. Sabar je lah! Bila ibu suruh masak nasi di rumah nenek, dia tulis nasi sahaja. 😂😂😂

Nenek tak perlu susah-susah memasak apa-apa. Cuma seperti biasa, nenek pasti akan menyediakan air minuman yang sedap untuk anak-anak dan menantu tersayang.

Kali ini biarlah nenek berehat-rehat sahaja sambil menanti hari untuk bertolak ke Tanah Suci.

Walaupun perancangan dibuat pada saat-saat akhir, semuanya dapat dilaksanakan dengan baik dan dalam suasana yang sederhana tetapi cukup bermakna.


Tiada majlis besar-besaran, tiada persiapan yang rumit. Cukuplah dengan solat berjemaah, bacaan Yaasiin, tahlil, doa selamat, makan bersama dan sembang-sembang mengeratkan silaturahim.

Paling menggembirakan, dapat melihat nenek tersenyum dan gembira apabila anak-anak serta cucu-cucu berkumpul bersama.

Masa bersama keluarga adalah antara nikmat yang paling berharga. ❤️

Alhamdulillah, syukur atas pertemuan yang indah ini.

No comments:

Post a Comment