Pages

Saturday, April 29, 2023

Mi Kari Buat Tetamu

Petang Jumaat ayah beritahu ada beberapa rakan nak singgah beraya pada petang Sabtu. Dok fikir menu apa untuk jamu mereka. Since mereka datang petang, kita masak light je lah. Dalam kepala buat mi kari. Ibu rasa macam tak pernah buat mi kari, kalau kari ayam, ikan atau daging ada lah. Jadi ibu google lah resepi. Kebetulan dalam Masak Apa Hari Ini (MAHN) Puan Yuhafiqah Mohd Yunus share resepi mi kari sedap. Ibu olah sedikit resepi tetapi yang penting bahannya adalah udang kering dan serbuk rempah udang. Kalau guna udang hidup pun boleh.


Resepi Mi Kari

Bahan-bahan:

  • 1 kg mee kuning
  • 1/2 ekor ayam, potong kecil
  • 10-15 biji bebola ikan (fish ball)
  • 3 keping kek ikan (fish cake)
  • tauhu puff
  • 4 sudu besar rempah kari ayam/daging 
  • 2 sudu besar serbuk cili
  • 2-3 sudu besar/1 peket kecil rempah udang (ketiga-tiga rempah bancuh jadi pes pekat)
  • 2 cawan santan pekat
  • 2 cawan santan cair
  • (boleh digantikan dengan santan kotak, cecair tu boleh lah adjust nak banyak mana)
  • Bahan untuk rempah tumis:
    • 1 batang kayu manis
    • 3 kuntum bunga lawang
    • 3 kuntum cengkih
    • 5 biji buah pelaga
    • 2 tangkai daun kari
  • Bahan untuk kisar halus:
    • 6 biji bawang merah
    • 4 ulas bawang putih
    • 1 inci halia
    • 2 sudu besar (segenggam) udang kering, rendam sehingga lembut.
  • Bahan untuk hiasan:
    • 4 biji telur rebus, potong dua
    • 2 tangkai sawi, potong dan rebus
    • 1 batang carrot, potong dan rebus
    • bawang goreng
    • limau nipis/limau kasturi
    • taugeh
    • daun bawang
    • cili merah

Cara Penyediaan:

  1. Panaskan air sehingga mendidih dan celur mee kuning seketika. Angkat dan toskan.
  2. Panaskan minyak, masukkan bahan rempah tumis dan kacau sehingga naik bau. Masukkan pula bahan kisar halus bersama pes rempah kari, serbuk cili dan rempah udang. Kacau sehingga agak garing dan betul-betul pecah minyak.
  3. Masukkan ayam dan kacau seketika sehingga separuh masak kemudian tuang air dan santan cair. Masak kuah sehingga mendidih.
  4. Masukkan pula santan pekat, bebola ikan, kek ikan dan tauhu puff. Kacau kuah semasa proses memasak supaya santan tidak pecah minyak.
  5. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
  6. Hidangkankan mee bersama bahan hiasan dan tuang kuah secukupnya.
Ibu baca tip : fish ball, fish cake dan tauhu puff tu goreng je, nanti nak makan baru masukkan jadi ada effect rangup. Tapi ibu masuk je semua 😁 itu yang periuk penuh isi, kuah kurang. Lainkali nak asingkan bahan sampingan.

Bahan sampingan yang ada.

Mi ni celur sekejap je sebab nanti ia mengembang sebab kepanasan.

Malam baru sempat makan, kuah pun dah surut, dapatlah rasa sikit.
 

1 comment:

  1. Tengok entry ni teringin plak mee kari Mak Pah...alamak...

    ReplyDelete