Pages

Monday, October 5, 2026

Jogja 2026 - Pengalaman Menaiki Jambatan Gantung dan Gondola Di Pantai Timang


Hampir 2 jam perjalanan, akhirnya sampailah kami ke Pantai Timang, antara destinasi dan aktiviti yang memang dinantikan sejak awal perjalanan. Tapi nak sampai ke tempat secantik ini, cabarannya bukan biasa-biasa! 😂

Sebelum ke Pantai Timang, kami dibawa terlebih dahulu ke kawasan tempat jeep. Dari situ, kami perlu menaiki jeep untuk meneruskan perjalanan ke pantai.

Bayaran yang dikenakan ialah IDR400,000 untuk satu jeep, dan yang menariknya, driver jeep kami juga merangkap sebagai jurufoto. Jadi tak perlu risau nak cari orang untuk ambil gambar—ada sahaja yang akan tolong abadikan momen kami sepanjang perjalanan. 📸

Dari tempat jeep, perjalanan menuju ke Pantai Timang mengambil masa lebih kurang 20 minit.

Jalannya???

Ya Rabbi…! 😂

Awal-awal perjalanan masih boleh tahan, jalannya agak rata. Tapi semakin dekat ke Pantai Timang, jalan mula berubah menjadi jalan berbatu-batu dan tidak rata.

Bila jeep mula melalui jalan berbatu tu, badan pun ikut sama bergoyang ke kiri dan ke kanan. Duduk pula rasa macam sedang naik roller coaster versi jalan kampung! 🤣 Setiap kali jeep melanggar batu atau melalui permukaan yang tidak rata, rasa macam punggung pun terangkat sekali.

Sebenarnya boleh saja berdiri di belakang jeep, tapi tak sanggup pula ibu nak berdiri lama-lama. Jadi pilihan yang ada… duduklah juga! 😂

Masalahnya, duduk pun bukan bermaksud boleh duduk dengan tenang. Terhoyong-hayang juga dibuatnya. Pegang kuat-kuat sambil berharap perjalanan cepat sampai. 🤣

Tapi itulah pengalaman yang membuatkan perjalanan ke Pantai Timang terasa lebih menyeronokkan. Belum sampai pantai lagi, kami sudah dapat “aktiviti” percuma dalam jeep! 😆🚙💨

Walaupun perjalanan agak mencabar, semuanya terbayar apabila akhirnya kami mula nampak pemandangan Pantai Timang. Cantik sungguh pemandangan laut dari kejauhan! 🌊💙


Sampai sahaja di Pantai Timang, kami rasa macam kena pukau… 😆

Bukan saja terpukau dengan keunikan tempatnya, tapi boleh dikatakan kami turut terpukau dengan pelawaan petugas-petugas di situ. 😂

Driver jeep kami kemudian mengajak kami ke Jambatan  Bukit Timang terlebih dahulu untuk mengambil gambar, kalau kami berminat.

Bayaran yang dikenakan ialah IDR30,000 seorang. Nanti akan ada petugas yang membantu mengambil gambar atau video menggunakan handphone kita sendiri. Jadi tak perlu risau nak bergilir-gilir ambil gambar—ada orang yang boleh tolong abadikan momen untuk kita. 📸

Dan bila dah sampai tempat secantik ini… nak kata tak mahu pun rasa macam rugi pula. 🤭

Lagipun, bukankah tujuan datang bercuti adalah untuk mencipta kenangan? Jadi, ambillah peluang sementara ada. Yang penting, balik nanti ada gambar dan video untuk dikenang. 🌊📸✨


Pantai Timang ni nama je pantai… tapi pantainya tak nampak pun! 😂

Kalau dengar nama “Pantai”, mesti kita bayangkan pantai yang ada pasir, boleh berjalan-jalan tepi laut, duduk menikmati angin sambil tengok ombak.

Tapi Pantai Timang ni lain sikit.

Tarikan utamanya lebih kepada tebing berbatu, laut yang luas, Pulau Timang serta pengalaman menaiki gondola dan menyeberangi jambatan gantung. Jadi jangan datang dengan bayangan nak bentang tikar dan santai atas pasir ya. Hehe.



Aishhh... ibu dah risau.. bawah tu tinggi tau.

Di belakang sana tu adalah Pulau Timang.

Bami seperti biasa cool je.

Sebenarnya masa ni perut ibu dah kecut. Memang terasa perut bergoyang-goyang. Tu yang duduk tak relax.

Gambar last atas Jambatan Bukit Timang yang diperbuat dari kayu dan buluh.
Lepas kami habis bergambar baru lah ramai orang. Mujur kami dah selesai.


Pulau Timang tu lah yang kami nak pergi.

Dari kejauhan nampak seperti bongkahan batu besar yang berdiri teguh di tengah laut, dikelilingi air biru dan ombak besar yang tidak henti-henti menghempas batu-batu di sekitarnya.

Apa yang ada di Pulau Timang?
Dulunya nelayan akan ke Pulau Timang untuk mencari hasil laut seperti lobster. Untuk ke sana, nelayan menggunakan gondola secara tradisional.
Sekarang, gondola itu pula menjadi salah satu tarikan utama buat pelancong yang datang mahu merasai pengalaman yang sedikit mencabar dan mendebarkan.

Di kawasan ni sebenarnya banyak juga spot yang boleh digunakan untuk bergambar. Tapi kami dah mula malas nak berjalan jauh-jauh. Lagipun, masing-masing sudah tak sabar nak sampai ke Pulau Timang. Hehe.

Gondola atau Jambatan Gantung? — 2 Lawan 1! 😆

Ikut perancangan asal, kami memang mahu ke Pulau Timang dengan menaiki gondola, kerana gondola inilah antara tarikan utama di sini.

Tapi bila dah sampai, Abang Imi pula bersuara, “Menarik juga kalau naik jambatan gantung.”

Bila tanya nenek, nenek nak naik dua-dua.
Adoiiii… 😂

2 lawan 1!

Terpaksalah kita fikir pilihan lain.

Sebenarnya, kalau pergi menggunakan gondola, balik pun perlu menggunakan gondola. Begitu juga kalau pergi melalui jambatan gantung, baliknya perlu menggunakan jambatan yang sama.

Ini kerana gondola dan jambatan gantung diuruskan oleh dua operator yang berbeza.

Jadi kalau kami pilih satu sahaja, kenalah pergi dan balik menggunakan laluan yang sama.

Tapi disebabkan masing-masing sudah ada pilihan sendiri, akhirnya kami buat keputusan untuk pergi naik gondola dan balik melalui jambatan gantung.

Cuma ada satu perkara yang perlu kami terima…

Kena bayar dua entrance fee! 😂

Harga seorang:

🚠 Gondola: IDR200,000 (RM46.95)

🌉 Jambatan Gantung: IDR150,000 (lRM35.20)

Jadi, selepas membuat bayaran, operator gondola terus cop tangan kami sebagai tanda sudah membayar entrance fee. Manakala untuk jambatan gantung pula, kami diberikan tiket oleh operator mereka.

Disebabkan ketika itu masih ramai yang sedang beratur untuk menaiki Gondola, driver jeep kami mencadangkan supaya kami pergi dahulu menggunakan Jambatan Gantung dan nanti balik baru naik gondola.

Katanya, kalau tunggu sekarang, mungkin kena beratur lama.

Haaa… menarik juga cadangannya! 😆

Kami pun ikut sahaja. Sekurang-kurangnya tak perlu membuang masa menunggu terlalu lama.

Sebelum memulakan perjalanan, kami dimaklumkan bahawa akan ada seorang tour guide dari operator Jambaran Gantung yang akan ikut bersama kami ketika menyeberangi jambatan. Jangan risau tentang gambar pula, kerana tour guide tersebut juga akan menjadi jurufoto kami.

Dan seperti biasa… kameranya?

Kamera handphone kita sendiri! 😂📸


Jambatan gantung ini panjangnya sekitar 120 meter, dengan laluan berpijak kayu yang disokong tali. Bila angin laut bertiup, jambatan akan bergoyang-goyang… memang cukup untuk buat jantung berdegup lebih laju! 😆🌊

Sebelum mula menyeberang, ibu minta Bami jalan dulu. Nenek kat tengah. Nak tak nak, ibu lah yang kena jalan paling belakang.

Nampak tak ibu tertinggal?

Baru beberapa langkah berjalan, Bami sudah beberapa kali menoleh ke belakang.

“Ibu okay tak tu?”

Hurmmm… okay tak okay, kena teruskan hidup…

Eh, bukan hidup! Kena teruskan perjalanan. 😂

Sambil berjalan tu, mulut memang tak berhenti membaca Surah Nabi Yunus. Hati berdebar bukan main, kaki pula melangkah perlahan-lahan.

Lebih-lebih lagi apabila ombak di bawah mula memukul batu-batuan. Percikan air laut naik kuat, bunyinya pula bergema di bawah jambatan. Ada masanya percikan air laut tu kena kat badan. Begitu kuat betul ombaknya.

Makin berjalan, makin terasa cabarannya.

Bila sudah sampai hampir separuh jambatan, tiba-tiba terasa jambatan itu bergerak ke kanan, ditiup angin laut.

Ya Allah… masa ni memang ibu dah pucat! 😱

Bami cepat-cepat pesan,

“Ibu, jangan pandang bawah. Pandang depan je!”

“Ye lah… ye lah…”

Kononnya nak ikut nasihat.

Ibu pun cuba pandang depan. Tapi disebabkan terlalu gayat, sempat juga jalan sambil tutup mata sekejap. 😂

Tapi bila fikir-fikir balik…

Macam pelik pula berjalan atas jambatan sambil tutup mata. 🤣

Kalau tersalah langkah, siapa yang susah nanti?

Jadi ibu buka mata semula dan cepat-cepat melangkah untuk merapati mereka berdua di hadapan.

Tak peduli dah nak bergambar ke apa… yang penting sampai ke seberang dulu! 😂

Setiap langkah terasa begitu panjang. Jambatan bergoyang, angin bertiup, ombak pula menghempas batu di bawah.

Memang pengalaman yang menguji keberanian.

Tapi dalam debar-debar tu, ada satu perkara yang ibu sedar…

Kadang-kadang kita tak perlu berani sangat pun. Cukup sekadar terus melangkah walaupun takut. ❤️

Dan akhirnya… sedikit demi sedikit, kami semakin hampir ke Pulau Timang. 🌊🏝️


Relax je eh mereka berdua ni… siap depangkan tangan lagi! 😂

Macam sedang berjalan-jalan di taman pula gayanya. Tak nampak langsung rasa gayat atau takut.

Ibu???

Muka masih cuak. 😰

Ibu ni kan memang sejenis yang gayat kalau berada di tempat tinggi. Jadi nak suruh berjalan dengan tenang atas jambatan yang bergoyang-goyang ni memang agak mencabar.

Bila dah nak sampai ke penghujung jambatan, lutut pun terasa makin lemah. Sampai satu tahap, rasa macam nak merangkak saja. 😂

Kalau ada orang berjalan sekali di belakang, agaknya jambatan tu akan lebih banyak bergoyang-goyang. Silap-silap bukan saja gayat dengan ketinggian, boleh bertambah gayat dengan pergerakan jambatan pula! 🤣

Jambatan kayu je.
Ini side yang Jambatan Gantung. Nak ke tempat gondola kena turun ke laluan sebelah kanan.
Berhati-hatilah sebab batunya nampak tajam.







Macamana foto ini diambil?

Disebalik posing kontrol hensem ada seseorang jurufoto yang bertungkus lumus.
Ibu nengok tour guide ambil gambar dah terasa seram.

Ini kami sudah berada di bahagian gondola.


Buat apa di Pulau Timang?

Bergambar, menghayati keindahan Pantai Timang sambil memuji kebesaran-Nya. 🤍

Indah sungguh ciptaan Allah. Laut yang terbentang luas, deburan ombak yang kuat dan pemandangan alam yang menakjubkan membuatkan kita seketika terlupa segala kesibukan.


Bukan sekadar datang untuk bergambar, tetapi mengambil sedikit masa untuk menikmati keindahan alam sambil mengagumi kebesaran-Nya.

Subhanallah... indahnya ciptaan-Mu. 🌊🤍

Sampai masa untuk ke tanah besar.

Tiang-tiang tu semua pakai kayu je.
Ni jeti sebelah Pulau Timang.
Abang Imi naik dulu seorang lepastu baru ibu dan nenek.


Bagaimana gondola ini digerakkan?

Semuanya secara manual. 
Di sebelah Pulau Timang, 3 orang pekerja akan menarik tali gondola.
Pantas je kerja mereka. Tarik dan tolak tali tanpa menggunakan sarung tangan.

Pekerja ini jugalah yang volunteer ambil gambar pengunjung yang datang. Tour guide yang datang masa kita naik Jambatan Gantung dah balik ke Pantai Timang. Dia tidak akan ambil gambar di bahagian gondola. 

Ini yang ditunggu-tunggu.
Cuak tu memang ada.




Alhamdulillah, sampai juga. 😊
Nampak muka nenek yang senyum puas 😅

Laluan gondola sepanjang 100-120 meter terasa sekejap sangat. Belum sempat nak menikmati pemandangan, dah sampai ke seberang.

Nampaknya, menggunakan Jambatan Gantung lebih mencabar. Ada rasa berdebar dan perlu lebih berhati-hati ketika melangkah.

Kedua-duanya memberikan pengalaman yang berbeza.

Naik gondola lebih santai dan menyeronokkan, manakala Jambatan Gantung pula menguji sedikit keberanian. Apa pun, kedua-duanya tetap menjadi pengalaman yang menarik untuk dikenang. 😊

Jeti di sebelah Pantai Timang.

Kahkah... tongkat kaki ke tu🤣
Nenek relax je.... lajuuuu
Jenuh juga nak menapak naik. Masa nak turun kemain lajuuu 😁

Masa nak ke jeti kan awal-awal kita melalui Jambatan Bukit Timang dan bergambar atas jambatan kayu dulu, itu yang tak rasa tinggi. Bila nak balik ikut laluan lain pula.


Ok.. gambar terakhir di Pantai Timang.

Driver jeep yang baik sangat.
Menyantuni nenek seperti embahnya.

Video kami naik Jambatan Gantung ke Pulau Timang.

Video menaiki gondola dari Pulau Timang ke Pantai Timang.

Makan Tengahari di Rumah Makan Kedai Lobster Pak Sis

Kat tempat parking kereta/jeep ada beberapa rumah makan.
Mas Donz bawa kami masuk ke RM Kedai Lobster Pak Sis yang menyediakan hidangan lobster. Hidupan laut yang terkenal di Pantai Timang.

Masa ni pun dah lapar sebab jam menunjukkan jam 12 tengahari.

Menu dan pakej harga yang telah ditetapkan.

Lobter dalam kolah.

Sementara menunggu makanan siap dimasak, kami solat Zohor & Asar dahulu.

Kami ambil Pakej E yang berharga IDR800,000 (RM187.85) yang mengandungi
  • Nasi putih
  • Lalapan & sambal belacan
  • Kepiting
  • Ikan Bawal
  • Tauhu
  • Cumi-cumi goreng tepung
  • Lobster
  • Sayur kobis putih
Besar-besar lobster nya.
Ada 4 ekor semuanya.

Lukisan grafiti di dinding.

Nenek kata sedap makan sebab ada kuah. Ye lah.. semalamnya kan makan kat Rumah Makan Bu Hartin tak ada kuah.
Masakan  lobster tu pun sedap, tak sure masak apa.

Sejam jugalah kami di RM Lobster Pak Sis.. siap makan dan solat semua.

Lepas makan bersambung ke wisata seterusnya.

Trip ke Jogja ni memang banyak tempat yang dilawati.
Yang bestnya perjalanan antara satu sama lain tu agak jauh jadi dapatlah kami merehatkan diri 🤗😎

Oh ya.. nak cerita sikit pasal naik jeep.. jeep tu ok je nak naik takde masalah. Cuma bila dah laluan nya yang agak mencabar boleh juga memberi kesan kepada diri.. bukan semua orang lah.

Masa kat airport nak balik ke Malaysia.. sembang-sembang lah dengan salah seorang peserta dari satu travel agency. Beliau cerita ada satu peserta dalam rombongannya, lepas dari aktiviti jeep dari Pantai Timang, kaki ke pinggang jadi sakit. Masa dalam jeep tu berdiri dan mungkin kaki terhentak-hentak yang buatkan ada masalah. 2 malam juga beliau berurut dan tak dapat ikut rombongan lain keluar. Terpaksa duduk dalam hotel. Hari terakhir je keluar dari hotel untuk ke airport balik Malaysia. Nampak lah kat airport pakai tongkat dan terpaksa disorong juga guna wheelchair. Rasanya umur dalam late 50s atau atau early 60s, sebab kebanyakan peserta dalam rombongan tu pun nampak macam golongan retiree.

Untuk yang nak naik jeep, hati-hati ya 😊 Aktiviti memang seronok, tapi gegaran dan hentakan dalam jeep tu jangan dipandang ringan. Jaga kaki, pegang kuat-kuat dan kalau rasa tak selesa, jangan paksa diri, duduk sahaja walaupun macam roller coaster.

Yang penting, enjoy perjalanan tapi jaga diri dan keselamatan masing-masing🤲

4 comments:

  1. Satu pengalaman yang begitu berharga kan dapat rasa kedua jenis cara ke pulau timang. Tabik lah kat nenek memang pengembara tegar yang visatile gayanya.

    Terfikir pulak macamana cara mereka membuat gondola Dan jambatan gantung pada mulanya ya.

    ReplyDelete
  2. Puas hati betul tu dapat makan seafood. Nampak mahal tapi kalau kat Malaysia tak dapat harga tersebut.
    Kadang bila enjoy travel keadaan kesihatan diri juga perlu Di fikir. Kesian pulak cerita naik jeep boleh jadi sakit teruk. Patutnya kalau dah jadi tempat tourist perbaiki lah jalan tersebut.

    ReplyDelete
  3. Kita dok risau kan nenek naik jambatan gantung tu, rupanya ibu yg gayat 🤭
    Tapi apapun hebat la Akk & nenek, Sy tak tau la berani ke tidak sbb nampak ombak kuat bawah tu. Seriau!

    Apapun kena ambil kira keadaan badan jugalah ye nak beraktiviti begini. Tak seronok pula kalau jatuh sakit bila melancong ni.

    ReplyDelete
  4. hebat nenek naik gondola tu...tgk muka ibu nmpk cuak tu...sedapnya tgk lobster tu...laparrrr

    ReplyDelete